Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan menerima mengadap Vice Chairman of the Standing Committee of the National People's Congress of the People's Republic of China and President of the Chinese People's Association for Peace and Disarmament, Tuan Yang Terutama Peng Qinghua yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini selama dua hari.


Antara lainnya, lawatan Tuan Yang Terutama Peng Qinghua ini bertujuan untuk memperkukuh lagi hubungan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China dengan membuka ruang kerjasama dalam pelbagai bidang seperti hubungan antara parlimen, serta menjadi platform bagi pertukaran pandangan mengenai isu-isu berkepentingan kepada kedua-dua buah negara termasuk kerjasama perundangan dan pertukaran antara rakyat.


Hadir bersama TYT Peng Qinghua pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dan Vice Minister of the International Department, Central Committee of the Communist Party of China, Tuan Yang Terutama Ma Hui.


Juga hadir, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.  


Close